Apabila baginda hendak meninggalkan sesuatu majlis, Baginda akan meninggalkan sesuatu di tempat duduknya sebagai tanda baginda akan kembali...
Abu Darda' r.a. berkata yang maksudnya: "Adalah Rasulullah SAW, apabila baginda berdiri ketika sedang duduk bersama kami dan hendak kembali; Baginda menanggalkan dua sandalnya atau sebahagian yang dikenakannya. Maka para Sahabat pun mengetahui hal itu sehingga mereka tetap di tempatnya." (Riawayat Abu Dawud)
Yang dimaksudkan dengan menanggalkan dua sandalnya ialah membuka dan meninggalkannya di tempat duduk baginda di dalam sesebuah majlis. Sedangkan bahagian yang dikenakan boleh jadi serban atau apa sahaja yang dipakai oleh baginda pada waktu itu.
Dengan demikian, para shabat pun mengetahui maksud baginda yang akan kembali semula setelah menyelesaikan tugas atau urusan baginda manakala para sahabat akan terus tetap di tempat duduk masing-masing tanpa meninggalkan majlis tersebut.
Ini merupakan antara beberapa kebiasaan Nabi Muhammad SAW. Pertama, baginda kurang suka memutuskan percakapan yang belum selesai. Sehingga baginda berasa perlu untuk kembali ke tempat duduknya setelah menyelesaikan sebahagian keperluannya.
Kedua, apabila baginda hendak kembali ke majlis, baginda akan memberi tanda bahawa baginda akan kembali.
Ketiga, betapa akrabnya para sahabat dengan baginda sehingga mereka memahami kebiasaan baginda dan mengerti dengan apa yang ditinggalkan oleh baginda di tempat duduknya.
Keempat, penghormatan yang tinggi daripada para sahabat kepada Rasulullah sehingga mereka enggan meninggalkan majlis yang dihadiri oleh baginda ketika baginda akan pulang semula ke majlis tersebut.
Kelima, semangat para sahabat dalam menuntut ilmu amat tinggi. Hal inilah yang menyebabkan mereka terus menunggu Nabi Muhammad SAW kembali ke dalam majlis dan memperdengarkan atau mendapatkan ilmu yang bermanfaatyang bakal disampaikan oleh baginda.
*Beginilah contoh teladan yang perlu kita ikuti sebagai adab tatkala sedang menghadiri majlis-majlis ilmu.





